Saturday, September 12, 2015

Penawar Resah Gelisah

Assalamualaikum
Bismillah wal Hamdulillah

1.  Manusia diciptakan oleh Allah swt dengan bersifat resah gelisah serta suka mengeluh. Firman Allah swt:

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).

Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah.

Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut.

(Al-Ma'arij: 19-21)

2.  Namun di sebalik keunikan sifat tersebut yang tercipta dalam diri manusia, Allah ajarkan kita dengan hikmah dan cara bagaimana untuk mengawal perasaan gelisah dan bakhil ini. Firman Allah lagi:

Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyangIaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.

(Al-Ma'arij: 22-23)

3.  Faktor utama yang menentukan hala tuju, susah atau senangnya perjalanan seharian seseorang hamba itu ialah solatnya. Baik solatnya, insyaAllah baik pula harinya. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba yang menyusun jadual harinya bersesuaian dengan waktu solat, bukannya solat pula yang perlu mengikut kesesuaian jadualnya.

4.  Allah menerangkan pula dalam ayat seterusnya dalam surah Al-Ma'arij, bahawa selepas urusan solatnya diperbaiki, maka perkara sesudah itu yang boleh diamalkan ialah:

Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

(Al-Ma'arij: 24-25)

5.  Suka untukku berpesan kepada diri sendiri, bersedekah itu menenangkan jiwa. Bukan sahaja memberi kepada mereka yang meminta-minta, namun yang tidak meminta tetapi hakikatnya mereka jua perlukan bantuan, perlu dibantu sedaya boleh.

6.  Jika pun tidak dibantu secara material, nasihat yang baik juga sudah memadai. Allah berpesan:

Adapun orang yang meminta (bantuan, pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik.

(Ad-Dhuha: 10)

7.  Perasaan resah gelisah boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kelam kabut dan tergesa-gesa melakukan sesuatu. 

8.  Namun tidaklah semua perbuatan tergesa-gesa itu salah. Apabila mengajak kepada menyembah Allah, ianya menjadi sesuatu yang terpuji, insyaAllah. Dalam konteks dakwah, ini ialah 'bersegera', bukannya kelam kabut.

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu.

Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayat petunjuk.

(Yasin: 20-21)

9.  Anjuran bersegera dalam kebaikan diajarkan oleh Allah dalam firmannya:

..Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan..

(Al-Baqarah: 148)

10.  Juga dalam usaha mencapai keampunan Allah swt:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

(Ali 'Imran: 133)

11.  Kesimpulannya:
  • Ubat untuk perasaan gelisah itu ialah solat, sadaqah, dan anjuran-anjuran lainnya (rujuk surah Al-Ma'arij).
  • Bersegera, berlumba-lumba, tergesa-gesa dalam mengejar kebaikan dan keampunan Allah itu perbuatan terpuji.
  • Bersegera dalam amal kebaikan ialah antara sifat orang bertaqwa.

Wallahu a'lam, wassalam.
Related Posts with Thumbnails

pageviews