Sunday, April 16, 2017

Sikap Berkecuali: Di Mana Kedudukannya Dalam Islam?

Bismillah
Wal Hamdulillah



   Bolehkah mengambil jalan tengah dengan tidak menyokong mana-mana kumpulan jika berlaku kekaburan & kecelaruan dalam politik?

Jawapannya boleh. Dalam konflik yang melibatkan parti Sayyiduna Ali r.a dengan parti Sayyidah Aisyah r.a.h & Sayyiduna Muawiyah r.a, terdapat sebahagian sahabat r.a yang mengambil pendirian tidak berpihak atau tawaqquf bersandarkan kefahaman mereka terhadap sabda Rasulullah S.A.W berikut:

“Sesungguhnya akan berlaku (suatu hari nanti) fitnah-fitnah, betapa pada ketika itu orang yang duduk (menjauhi fitnah) lebih baik daripada orang yang berjalan untuknya (fitnah), orang yang berjalan untuknya (fitnah) lebih baik dari orang yang berlari-lari anak untuknya (fitnah), ketahuilah apabila ianya berlaku, maka sesiapa yang memiliki unta hendaklah ia (menyibukkan diri dengan) menggembala untanya, sesiapa memiliki kambing gembalailah kambingnya, sesiapa yang memiliki tanah kerjakanlah tanahnya. Perawi berkata: Lalu berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu bagi sesiapa yang tidak mempunyai unta, kambing dan tanah, Baginda menjawab dengan bersabda: Dia ambillah pedangnya, lalu tetaklah bahagian tajamnya ke atas batu (supaya ia menjadi tumpul dan tidak boleh digunakan lagi), kemudian selamatkanlah dirinya sekiranya ia termampu menyelamatkan diri” . (Riwayat Muslim)

     Antara golongan sahabat yang menahan diri mereka daripada berbicara & terlibat dgn peristiwa tersebut adalah; Sa‘d bin Abi Waqqas, Abu Bakrah perawi hadith disebutkan tadi, ‘Abd Allah bin ‘Umar dan ‘Imran bin al-Husayn. Al-Nawawi ketika menjelaskan kedudukan para sahabat yang tidak melibatkan diri dalam fitnah ini, menyifatkan mereka sebagai golongan yang berada dalam keadaan tahayyur atau kebingungan. Beliau menyebut:

“(Pada saat itu) permasalahan yang dihadapi amat samar sehingga sekumpulan para sahabat tahayyur (menjadi bingung) tentangnya. Oleh itu mereka mengambil sikap mengasingkan diri daripada dua golongan (yang berselisih), mereka tidak ikut serta berperang, dan tidak meyakini manakah pihak yang benar”
(Syarah Sahih Muslim: 18/11)

     Sheikh ‘Abd al-Halim Mahmud dalam bukunya “al-Tafkir al-Falsafi fi al-Islam” memuji para sahabat tersebut, beliau mengatakan itu adalah pendirian orang yang bijaksana memandangkan permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam pada ketika itu sangat kompleks, samar dan sulit untuk membezakan antara kumpulan yang benar dan salah. Setiap golongan mengemukakan alasan untuk membenarkan pendapat mereka dan menyalahkan yang lain. Oleh kerana itu, mereka mengambil pendirian untuk menyerahkan permasalahan tersebut kepada Allah S.W.T dengan tidak menghukumi kumpulan mana yang benar dan salah. Menurut penilaian ‘Abd al-Halim Mahmud ini adalah suatu langkah positif yang diambil oleh orang yang bijaksana. (al-Tafkir al-Falsafi fi al-Islam: 140)

     Kesimpulan: Dalam krisis politik yg sedang melanda umat Islam di Malaysia pada hari ini, tidak salah jika kita mengambil sikap tawaqquf (berdiam diri drpd menyokong mana-mana pihak) memandangkan berlakunya kekaburan yg amat sgt bahawa pihak manakah yg benar2 boleh menguntungkan Islam & umat Islam. Wallahu a'lam.


*Disalin dari status facebook Ustaz Aizam Mas'ud
Related Posts with Thumbnails

pageviews