Thursday, August 20, 2015

Merasa Syukur Untuk Merasa Cukup

Assalamualaikum
Bismillah wal Hamdulillah

1.  Konsep syukur adalah salah satu cabang dari ajaran islam. Ianya difahami oleh sebahagian besar manusia sama ada muslim ataupun tidak, namun tidak ramai yang mampu mempraktikkannya secara holistik di dalam kehidupan seharian.

2.  Di dalam al-quran, terdapat banyak ayat-ayat yang memaparkan atau membincangkan perihal syukur. 

3.  Tentang perihal hamba yang bersyukur, diceritakan oleh Allah;


"Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur! Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur."
(Saba':13)

Dalam ayat ini, Allah memerintah nabi Daud dan keluarganya untuk melakukan amal-amal soleh sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kurniaan tuhan. Seterusnya, Allah menyatakan bahawa amat sedikit sekali hamba-hambaNya yang bersyukur. Ayuhlah kita berdoa agar termasuk di dalam golongan yang sedikit itu, insyaAllah.

4.  Terdapat segolongan hamba Allah yang terpilih untuk mendapat nikmatNya, lalu mereka mengeluarkan daripada harta mereka itu bahagian untuk diberi makan orang-orang yang memerlukan.


"Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih."
(Al-Insan:8-9)

Golongan yang dimuliakan ini bukan sahaja memberi makan, malah memilih makanan yang terbaik sahaja (dihajati dan disukainya) untuk diberi kepada yang memerlukan. Setelah itu mereka bahkan menolak sebarang balasan ataupun ucapan terima kasih dari golongan yang dibantu itu. Mereka hanya berkehendakkan Allah lalu bersyukur kepadaNya, bukan mengharapkan kesyukuran dari makhluq.

5.  Penghuni-penghuni syurga juga turut mengucapkan puji-pujian serta syukur kepada Allah.

"Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing dan mereka pula bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayat petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufikNya).."
(Al-A'raf:43)

Golongan yang sudah dimasukkan ke dalam syurga pun masih mampu memanjatkan kesyukuran kepada Allah, semoga kita termasuk dalam kalangan mereka insyaAllah.

6.  Perintah untuk bersyukur ke atas (kebaikan, pengorbanan) ibu bapa dinukilkan di dalam al-quran bersama-sama dengan perintah agar bersyukur kepada Allah.


"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
(Luqman:14)

7.  Sesungguhnya syukur itu manfaatnya adalah untuk diri kita sendiri.


"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."
(Luqman:12)

8.  Semoga para pembaca termasuk diriku dapat mengambil barang sedikit manfaat daripada nukilan hamba yang lemah ini. Ya Allah, masukkan kami ke dalam golongan yang sedikit! InsyaAllah, wassalam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails

pageviews