Wednesday, August 12, 2015

Nasihat Untuk Orang-orang Yang Menasihati

Assalamualaikum
Bismillah wal Hamdulillah

     Setiap daripada kita dicipta oleh Allah dengan perasaan ingin berdamping dan didampingi oleh orang lain. Anak-anak kecil, ingin bersama-sama dengan ibubapa atau penjaganya. Orang-orang yang telah tua, sering rindukan anak-anaknya agar pulang ke kampung. Pekerja mahupun pelajar sekolah perlukan sahabat seperjuangan bagi menelusuri liku-liku jalan mengejar impian. Begitu pula dengan remaja, atau pemuda-pemudi yang belum berkahwin. Sememangnya wujud rasa ingin mendampingi seseorang yang berlainan jenis, menjadi sahabat baiknya, peneman di kala suka, penenang di waktu duka, seseorang yang menyambut tangan dan cintanya!
     Dalam memenuhi tuntutan rasa cinta ini, ada kalanya kita goyah. Mungkin seringkali rebah, melayan nafsu yang penuh serakah, benteng iman dan taqwa pula amat lemah, dosa pahala tidak lagi diendah, perihal syurga neraka diambil mudah. Tidak sahaja mereka yang kurang berpengetahuan agama lemas dalam tipu daya syaitan ini, bahkan ramai para bijak pandai agama yang kukuh pelajaran aqidah dan lengkap pula ibadah yang tersungkur dalam lembah cinta hina. 
     Aku berani bersaksi atas segala kata-kataku ini, kerana aku punyai sahabat-sahabat yang pernah diuji Allah dengan ujian iman sedemikian, bahkan, aku sendiri pernah jatuh ke dalam dunia itu. Sehinggalah Allah datang mengetuk pintu hatiku, maka dihadirkanNya seorang wanita yang telah mengubah jalan hidupku dengan cara terhormat iaitu nikah. Cukupku katakan tatkala aku terlalu lama berduka cita akibat peritnya dikhianati, hadirnya dia dalam hidupku membawa cinta dipandu Ilahi. Terus sahaja jalan-jalan pernikahan itu dipermudahkan, tidak perlu keluar sana-sini macam suami isteri, dan entah apa-apa lagi. Semoga Allah menutup aib-aibku di dunia dan di akhirat.
     Ada beberapa pesanan yang ingin kusampaikan kepada sahabat-sahabat sekalian. Buat mereka yang tidak suka akan perbuatan couple atau ingin menasihati sahabat-sahabat yang terjebak dengannya:

1) Betulkan niat, mohon agar segala usaha kita semata-mata untuk redha Allah.
2) Bencilah perilaku dosa, jangan sampai diperlekehkan niat mereka yang betul-betul ingin bernikah namun terdapat halangan. Kita hanya nampak apa yang zahir sahaja. Pernah ambil tahu sudah berapa kali niat untuk bernikah mereka ditolak oleh keluarga? Dibebani pula adat hantaran berpuluh ribu yang mengarut itu?
3) "Sesiapa yang mengejek/memperlekeh saudaranya yang sudah pun bertaubat dari dosa yang pernah dilakukannya, maka dia tidak akan mati melainkan setelah dia juga melakukan dosa tersebut."
-Ibn Qayyim al-Jawziyya (w. 751H)
4) Sampaikanlah dengan penuh hikmah. Allah hanya mendedahkan satu sahaja aib saudara kita itu, sedang diri kita sendiri ada lima puluh aib yang ditutup oleh Allah dari pandangan manusia!
5) Jika rasa diri lagi hebat dari orang yang ingin dinasihati itu, maka hentikanlah 'dakwahmu'. Sebaliknya mintalah orang lain menasihatimu, mohonlah Allah mengubatimu dari penyakit hati bernama ego, kerana sesungguhnya itu yang telah menghumban iblis ke lembah kemurkaan Allah.
6) Tugas kita hanya menyampaikan, amr ma'ruf nahy munkar. Sesungguhnya Allah jualah yang menyedarkan dan memberi hidayah.
7) Berpesan-pesanlah kerana Allah, bukan kerana marah.
8) Jika kamu dikeji kerana menasihati, yakinlah yang memberi ganjaran bukanlah si pengeji, tetapi Allah.
9) Kurangkan atau hentikanlah kata-kata berbentuk sarcasm (perli) apabila menasihati. 
10) Jika hati kita bersih, akan mudah pula mengajak orang lain membersihkan hati mereka. Oleh sebab itu jika nasihat kita tidak berapa menjadi, ya hidayah milik Allah, namun kita perlu juga bermuhasabah diri. Berkata Al-Fudhail bin 'Iyadh,
"..setiap kali isteri, anak-anak dan keldaiku melawan perintahku, aku selalu muhasabah diri: Maksiat apa yg telah aku lakukan? Selepas aku bertaubat, aku segera melihat perubahan dalam diri mereka.."

Semoga tulisanku ini bermanfaat terutamanya buat diriku sendiri insyaallah. Sebarkan cinta, sebarkan kebenaran. Wassalam.

1 comment:

Anonymous said...

Masyaallah bagus sekali penjelasannya
https://www.instagram.com/p/CiQtxh4hpId/?igshid=YmMyMTA2M2Y=

Related Posts with Thumbnails

pageviews