Assalamualaikum
Bismillah wal Hamdulillah
Segala puji hanya untuk Allah. Masih di dalam mood research, memberikan aku peluang untuk menulis. Hari ini alhamdulillah syukur masih aku berpeluang menikmati manisnya alam rumahtangga bersama-sama isteri tersayang. Sekalipun masih tinggal berasingan di asrama masing-masing, namun ruang untuk makan bersama-sama, sungguhpun lauk murah dan jimat, tetap terasa hangatnya sebuah cinta. Isteri kerap membeli nasi seolah-olah untuk aku makan seorang sahaja, baru ku tahu perempuan memang kurang makan nasi ya? Hehe apa-apapun terima kasih isteriku, mungkin ini salah satu cara Allah ingin mencukupkan rezeki kita. Bukanlah kuantiti itu yang mengenyangkan, bahkan Allah-lah yang memenuh dan memuaskan kehendak perut kita ini. Lauk yang simple jadi begitu sedap apabila disuap oleh tangan isteri, seolah-olah seperti ibu yang menyuapku. Memang begini perempuan dicipta oleh Allah. Sebagai anak, isteri, dan ibu buat survival ummah, pembawa sakinah, rahmah dan mawaddah. Insyaallah.
Sememangnya usia perkongsian hidup kami masih sangat muda, baru 18 hari sahaja kami bernikah. Subhanallah, alhamdulillah, Allahu akbar. Allah berfirman di dalam Al-quran;
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui."
(An-nur:32)
Lihatlah, Allah berjanji Dia akan mengayakan mereka yang berkahwin! Sesungguhnya janji Allah itu benar, kasihNya kepada hamba yang mencari pahala tidak akan pudar, hanya manusia sahaja yang sering lupa tidak mahu sedar.
Buatlah perbelanjaan bersama, rancang aliran keluar masuk wang dalam keluarga. Cubalah untuk latih dari sekarang lagi sementara masih hidup berdua. Ya, Allah-lah yang memberi rezeki, lalu tugas kita para hambaNya ialah memikirkan jalan-jalan yang ada untuk mengurus rezeki tuhan ini. Aku berharap agar perancangan yang penuh lompang dan kelemahan oleh kami berdua ini, akan sentiasa dibantu dan diselia oleh Allah. Sentiasalah berdoa, "Ya Allah janganlah Kau biarkan kami menguruskan tatacara hidup kami dengan tangan kami sendiri Ya Allah, sekalipun buat sekelip mata sahaja." Seperti konsep makanan yang berkat, rezeki yang berkat juga bukanlah yang banyak, bahkan yang dicukupkan oleh Allah.
Buat para pemuda-pemudi yang merancang untuk berkahwin, mungkin ini ringkasan nasihatku buat masa ini, maka sesungguhnya nasihat ini sebenar-benarnya untuk diriku sendiri:
1) Allah akan mencukupkan bahkan mengayakan kamu dengan perkahwinan ini
2) Rezeki yang Allah kurniakan menjadi tanggungjawab kamu untuk diurus dengan baik
3) Bantulah (agama) Allah, nescaya Allah akan membantu kamu insyaallah.
Akhir kata buat para sahabat-sahabat yang kucintai sekalian, bernikahlah!
Wassalam.
No comments:
Post a Comment